Thursday, October 5, 2023

Maksud Qadha dan Qadar?

Para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah berbeza pendapat dalam menerangkan maksud qadha dan qadar, kerana kedua-dua perkataan memiliki maksud yang amat hampir dan saling menjelaskan.

Diantara mereka ada yang berpendapat qadha bererti ketentuan bersifat menyeluruh sejak azali, sementara qadar ialah bahagian serta perinciannya. Pendapat ini dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani rahimahullah yang maksudnya: "Mereka yakni para ilmuan berkata, qadha ialah ketentuan bersifat menyeluruh lagi umum sejak masa azali manakala qadar ialah bahagian-bahagian dan perincian-perincian dari ketentuan tersebut."

Maksud Qadha dan Qadar

Selain itu diantara mereka ada yang berpendapat qadar ialah ilmu, penulisan, kehendak dan penciptaan Allah Subhanahu waTa'ala tentang apa yang akan berlaku sejak azali manakala qadha ialah perlaksanaan terhadap qadar tersebut.

Firman Allah berkenaan qadar yang maksudnya: "Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut qadar (yang telah ditentukan)." [al-Qamar 54:49]

Firman Allah berkenaan qadha yang maksudnya: "Dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya." [Maryam 19:21]

Berkenaan qadar, Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd – semoga Allah memeliharanya – menerangkan bahawa: Qadar adalah, ilmu Allah, catatan-Nya terhadap segala sesuatu, kehendak-Nya dan penciptaan-Nya terhadap segala sesuatu tersebut. Berkenaan qadha, Syaikh Ahmad Izzuddin al-Bayanuni – semoga Allah memeliharanya – menerangkan bahawa: Qadha ialah perlaksanaan terhadap qadar yang telah ditentukan oleh Allah."

Berdasarkan penjelasan di atas, di kalangan ilmuan Islam ada yang berpendapat tertib yang betul ialah qadha kemudian qadar sementara ada yang berpendapat tertib yang betul ialah qadar diikuti qadha.

Namun perbezaan pendapat ini tidaklah memudaratkan, malah ia merupakan satu kelaziman dalam apa jua perbicaraan ilmiah.

Syaikh Abu Abdurrahman Ali bin al-Sayyid al-Washifi Hamd – semoga Allah memeliharanya – menjelaskan:

Perbezaan para ilmuan dalam mendefinisikan qadar dan qadha tidak mengaburkan hakikat kedua-duanya. Hal ini sama ada qadha lebih dahulu dari qadar menurut pendapat yang menyatakan bahawa qadha ialah menetapkan secara keseluruhan atas sesuatu yang bersifat umum pada zaman azali sedangkan qadar ialah menetapkan terjadinya bahagian-bahagian dari suatu keseluruhan itu secara terperinci. Atau qadar lebih dahulu dari qadha menurut pendapat yang menyatakan bahawa qadar umpama asas manakala qadha ialah bangunan (yang berdiri di atas asas itu).

Perbezaan pendapat ini tidak memberi pengaruh kerana pada hakikatnya kedua-dua (qadar dan qadha) adalah aturan yang telah ditetapkan oleh Allah bagi semua makhluk yang mencakupi semua yang baik dan buruk, yang berakhir hingga masa tertentu yang berubah dari satu keadaan ke keadaan yang lain.

Setelah mengkaji di antara kedua-dua pendapat di atas, saya cenderung kepada pendapat yang mendahulukan qadar diikuti qadha. Ini kerana qadar ialah apa yang Allah ketahui, tulis, berkehendak dan merancang untuk mencipta sejak azali (before time). Apabila kehendak tersebut Allah ciptakan sehingga menjadilah ia pada masa ini (present time), maka itulah qadha.

Selain itu para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah juga menyatakan bahawa dari sudut istilah, apabila perkataan qadha atau qadar disebut secara bersendirian, maka ia memiliki maksud yang sama. Apabila perkataan qadar dan qadha disebut secara bersamaan, maka ia memiliki maksud yang berbeza.

Justeru:

Apabila disebut qadha sahaja atau qadar sahaja atau taqdir sahaja, maka ia bererti ilmu, penulisan, kehendak dan penciptaan Allah sejak azali dan perlaksanaannya.

Apabila disebut qadar dan qadha, maka qadar ialah ilmu, penulisan, kehendak dan penciptaan Allah sejak azali manakala qadha ialah perlaksanaan qadar tersebut.

Bagaimana qadar dan qadha saling berkaitan antara satu sama lain?

Umpamakan sebuah bangunan. Ia bermula apabila para jurutera dan arkitek membuat cetak biru (blueprint) berkenaan bangunan tersebut.

Cetak biru dibuat berdasarkan ilmu dan kehendak para jurutera dan arkitek, kemudian dilukis dan dicatat di atas kertas.

Cetak biru itu bersifat menyeluruh lagi terperinci merangkumi asas-asas bangunan sehinggalah perinciannya suis elektrik, paip air dan warna dinding.

Setelah itu pembinaan dimulakan sehingga ia menjadilah apa yang di atas kertas sebuah bangunan yang sempurna.

Cetak biru para jurutera dan arkitek umpama qadar Allah manakala pembinaan umpama qadha Allah.

Namun tentu saja qadar dan qadha Allah jauh lebih agung dan sempurna berbanding perumpamaan di atas.

Maha suci Allah dari sebarang kesamaan dengan makhluk-Nya.

Wallahu a'lam.

Komen anda


EmoticonEmoticon