Thursday, October 5, 2023

Kenapa Dilarang Membicarakan Qadha Dan Qadar?

Kenapa kita dilarang membicarakan persoalan qadar dan qadha, sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan, kerana ada beberapa hadis yang melarang perbicaraan qadar dan qadha.

Salah satu di antaranya ialah: "Jika para sahabatku dibicarakan maka diamlah, jika bintang-bintang dibicarakan maka diamlah dan jika taqdir dibicarakan maka diamlah." (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir)

Larangan Membicarakan Qadha Dan Qadar

Pada ketika yang lain, Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan bahawa: "Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pernah datang kepada kami sementara kami ketika itu sedang berselisih berkenaan taqdir. Maka baginda marah sehingga wajahnya menjadi merah dan kedua belah pipinya umpama buah delima yang merekah. Baginda bersabda yang maksudnya, "Apakah untuk urusan seperti ini kalian diperintahkan? Atau apakah kerana urusan seperti ini aku diutuskan kepada kalian? Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian binasa tidak lain kerana mereka berselisih dalam urusan ini (taqdir). Aku sungguh-sungguh meminta kalian agar jangan berselisih mengenainya." (Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya)

Walau bagaimanapun, kedua-dua hadis di atas tidak bermaksud untuk melarang perbicaraan qadar dan qadha secara mutlak. Ini kerana jika kita merujuk kepada keseluruhan al-Qur'an dan al-Sunnah, didapati terdapat sekian banyak ayat dan hadis yang membicarakan tentang qadar dan qadha.

Maka apa yang dimaksudkan oleh kedua-dua hadis di atas adalah larangan dari membicarakan qadar dan qadha tanpa merujuk kepada al-Qur'an dan al-Sunnah serta penjelasannya oleh para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Selain itu, qadar dan qadha adalah berkenaan ilmu Allah, hikmah-Nya dan rahsia di sebalik ciptaan dan pengurusan-Nya.

Justeru kita tidak boleh membicarakannya melainkan dengan merujuk kepada apa yang diterangkan oleh Allah dalam al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih.

Akal kita – sebijak mana sekalipun – tidak akan mampu menggapai ilmu Allah walau sedikit jua:

"Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [Luqman 31:27]

Membicarakan ilmu Allah (qadar dan qadha) tanpa merujuk kepada petunjuk Allah (al-Qur'an dan al-Sunnah) bererti mengatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kita ketahui.

Ini merupakan satu kesalahan yang lebih besar dari syirik berdasarkan turutan dalam ayat berikut yang maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan: Perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa; Dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; Dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); Dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya." [al-A’raaf 7:33]

Ini penting untuk ditekankan kerana sebahagian umat Islam sejak masa lalu hingga kini cuba berbicara berkenaan qadar dan qadha berdasarkan teori-teori akalnya.

Mereka menerima apa yang sesuai, mentakwil apa yang berlainan dan menolak apa yang janggal. Mereka tidak sedar bahawa tindakan itu sebenarnya menceroboh ke dalam wilayah ilmu, hikmah dan rahsia Allah.

Juga, disebabkan teori ini saling bersilang dan bertindih, mereka akhirnya berselisih pendapat. Inilah yang dilarang oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam hadis di atas.

Allah Subhanahu waTa'ala berfirman yang maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amr" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." [al-Nisa' 4:59]

Justeru sikap Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dalam persoalan membicarakan qadar dan qadha ialah di pertengahan. Kita tidak membolehkannya secara mutlak dan tidak melarangnya secara mutlak.

Kita membicarakannya sesuai dengan petunjuk al-Qur'an dan al-Sunnah, diam pada apa yang didiamkan oleh al-Qur'an dan al-Sunnah dan menangguhkan apa yang tidak kita fahami.

Komen anda


EmoticonEmoticon